PAS MAHU GEJALA MURTAD DITANGANI MELALUI PERUNDANGAN

KOTA BAHARU, 8 Nov  -- Kerajaan Pusat digesa mengambil langkah mengawal gejala murtad di negara ini kerana ketiadaan undang-undang khusus mengenainya menyebabkan seseorang yang beragama Islam boleh mengisytiharkan dirinya murtad dengan sewenang-wenangnya.

Pengerusi Lujnah Undang-undang Pas Kelantan Takiyuddin Hassan berkata, dengan kuasa yang ada, kerajaan pusat mempunyai mekanisme tertentu bagi mengawal gejala murtad.

"Ini boleh dibuat melalui perundangan, umpamanya dengan meminda Perlembagaan Persekutuan yang diterima pakai di semua negeri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada Ahad lepas, dua guru agama dan seorang lelaki yang dituduh mengingkari perintah mahkamah supaya bertaubat selepas didakwa terbabit dengan ajaran sesat empat tahun lepas, membuat pengakuan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini bahawa mereka bukan lagi beragama Islam.

Takiyuddin yang juga Ketua Pemuda Pas Kelantan memberi contoh, seseorang yang ditangkap kerana berkhalwat boleh mengisytiharkan dirinya murtad dengan sewenang-wenangnya bagi mengelak hukuman kerana undang-undang khalwat tidak dilaksanakan terhadap bukan Islam.

Katanya, berdasarkan undang-undang sedia ada, pihak berkuasa agama tidak boleh bertindak terhadap seseorang yang membantu atau menyebabkan seseorang beragama Islam murtad, jika orang yang membantu itu bukan beragama Islam.

Beliau berkata pihak berkuasa agama juga tidak boleh bertindak terhadap seseorang yang murtad kerana pada masa itu orang berkenaan bukan lagi beragama Islam.

Takiyuddin berkata keadaan menjadi lebih sukar kerana seseorang yang murtad tidak boleh dipaksa kembali menganut Islam kerana Malaysia mengamalkan kebebasan beragama.

"Satu cara terbaik bagi menangani soal murtad ialah dengan melaksanakan hukum Hudud sebagaimana yang terkandung dalam Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) negeri Kelantan 1993," katanya.

Beliau menggesa kerajaan pusat supaya meneliti semula rang undang-undang itu termasuk membuat pindaan di mana yang perlu, supaya ianya boleh dilaksanakan. -- dipetik dari BERNAMA