KENYATAAN MEDIA (12 MAC 2001)
TRAGEDI KG MEDAN : DASAR PERKAUMAN BN BAWA PADAH

 

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius tragedy hitam yang berlaku di sekitar Kampung Medan, Petaling Jaya yang melibatkan perbalahan antara kaum Melayu dan India.  DPP Pusat berpandangan bahawa peristiwa hitam  ini meletus berpunca daripada dasar BN yang beroreantasikan perkauman sehingga mencetuskan suasana yang tegang di kalangan rakyat. Tindakan Kerajaan BN yang mengadu dombakan semangat perkauman ini ternyata telah memberikan kesan yang buruk terhadap perpaduan nasional.

 

DPP Pusat mempertegaskan bahawa isu perkauman seperti ini sewajarnya tidak berlaku dan ini bukannya masa untuk rakyat membangkitkan persoalan perkauman tetapi lebih bermanfaat sekiranya rakyat negara ini menumpukan kepada usaha-usaha untuk mengembalikan keadilan, kebebasan dan kestabilan politik yang telah dicabul oleh Kerajaan BN. DPP Pusat menyeru seluruh mereka yang terlibat khususnya dan rakyat Malaysia amnya supaya menghentikan sentimen perkauman ini dan bersatu hati untuk menghapuskan kezaliman, penindasan, penyelewengan dan tipu daya politik tajaan BN.

 

DPP Pusat menyalahkan sepenuhnya Kerajaan BN di atas apa yang tercetus sejak kebelakangan ini sehingga mengancam kestabilan dan keamanan negara. Bagi DPP Pusat, semangat perkauman yang tercetus adalah akibat daripada provokasi yang keterlaluan yang dilakukan oleh pemimpin Umno/BN dalam menarik sokongan rakyat secara sempit terhadap perjuangan sempit mereka. Pemimpin BN sengaja menyebutkan soal kepentingan kaum tertentu yang kononnya diancam oleh orang kaum lain, walhal yang mencabulnya adalah pemimpin BN sendiri. Provokasi seperti ini telah menimbulkan kebencian kaum tertentu terhadap kaum lain dan mereka begitu sensitive untuk bertindak sekiranya ada sesuatu isu yang kecil tercetus.

 

Tindakan beberapa pemimpin Umno juga telah menaja perhimpunan Takkan Melayu Hilang Di Dunia dengan bersimbolkan keris tanpa sarung dan berlatarbelakangkan darah telah menimbulkan kebimbangan orang bukan Melayu. Ini juga mendorong mereka bertindak balas dengan segera jika merasa tertekan. DPP Pusat hairan mengapakah Umno begitu tertarik untuk membincangkan isu Melayu sedangkan mereka memandang sinis desakan PAS untuk membincangkan isu perpaduan nasional dan sekarang rakyat terpaksa menanggung natijahnya.

 

DPP Pusat juga melihat tindakan BN yang membiarkan parti-parti komponennya terus bergerak atas dasar perkauman turut menjadi factor tercetusnya perbalahan kaum ini. Berbeza dengan parti-parti Barisan Alternatif, semua parti merupakan parti multi racial yang mementingkat perpaduan kaum. Manakala parti BN pula dibentuk berdasarkan kaum dan akibatnya wujud persaingan kaum untuk menjaga kepentingan masing-masing. Kejadian yang berlaku ini adalah berpunca daripada kegagalan Umno dan MIC mempastikan orang-orang Melayu dan India hidup bersatu padu sebaliknya saling bermusuhan.

 

DPP Pusat sekali lagi menyeru seluruh pemimpin dan rakyat Malaysia supaya mengemblengkan tenaga dan usaha tanpa mengira fahaman politik untuk mempastikan keamanan negara ini dapat dikekalkan. Sebarang pertelingkahan yang berlaku mestilah diselesaikan dengan penuh semangat perpaduan. DPP Pusat juga mendesak Kerajaan BN supaya mengutamakan pembangunan perpaduan nasional berbanding daripada sibuk membahaskan kepentingan kaum tertentu yang dirobak rabik sendiri oleh pemimpin BN sehingga menimbulkan suasana yang tegang di kalangan rakyat.

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat